Operasi Hijau
Hijau bukan sekadar warna. Ia adalah nafas hutan, nadi kehidupan serta medan konspirasi yang berlumuran darah dan racun.
Amirul, seorang penyelidik muda merangkap ejen penyiasat rahsia, menyertai ekspedisi saintifik ke hutan dara. Namun, apa yang bermula sebagai kajian biodiversiti berubah menjadi operasi berbahaya apabila mereka menemui jejak jentera berat, pencemaran toksik dan lelaki bersenjata yang memberi amaran keras. Setiap pokok yang tumbang, setiap sungai yang tercemar, membuka lapisan demi lapisan rahsia yang mendedahkan sebuah jaringan konspirasi alam sekitar yang melibatkan kuasa besar, wang dan nyawa.
Di tengah-tengah rimba yang hidup dan mati serentak, Amirul harus memilih; kekal sebagai pemerhati sains atau menjadi pejuang dalam pertempuran sunyi mempertahankan hutan terakhir yang masih bernyawa.
Genre : MISTERI, THRILLER, PENYIASATAN
Mentari Musim Dingin
Selepas dikhianati oleh tunang dan sahabat sendiri, Sara ditimpa kemalangan yang hampir meragut nyawa. Tiba-tiba sahaja, dia muncul di Safranbolu, kota lama yang diselaputi salji dan seribu rahsia.
Di situ, dia bertemu Emir; lelaki sepi yang hidup dalam luka yang tidak pernah sembuh.
Sehari sebelum kemunculan Sara, Emir menerima sepucuk surat yang dikirim oleh ibunya tentang “harta peninggalan keluarga”.
Perjanjian dimeterai. Pengembaraan bermula. Sara dan Emir bergerak dan bertindak mengikut arahan di dalam surat misteri itu. Dalam perjalanan musim dingin yang penuh keajaiban, mereka menemukan rasa yang menghangatkan.
Namun, apabila garis di antara mimpi dengan realiti mula kelihatan, Sara terpaksa membuat pilihan paling sukar:
terus berada dalam mimpi yang sempurna,
atau kembali ke dunia yang pernah mematahkan.
Jika bahagia hanya wujud dalam mimpi, haruskah dia terjaga?
Genre : SLICE OF LIFE + romance + magical realism + thriller ringan