FREE DELIVERY for order RM150 and above!

Pickup option is available at our store

Kerana Seekor Burung, Beliau Wakafkan Kebun
|
SN Fatihah

Solat tanpa sujud sahwi itu ialah nikmat. Rezeki khusyuk yang Allah berikan kepada mereka yang ikhlas beribadah. Bukan mudah untuk matikan fikiran menerawang semasa solat. Saat itulah teringat memori lama, terfikir idea luar kotak atau termengelamun impian masa hadapan. Kadang-kala, kita diuji dengan pandangan mata yang fokusnya pada perkara lain ketika sembahyang.

Apa yang kita alami ini juga pernah dilalui oleh sahabat Rasulullah. Dan kisahnya ada tertulis dalam hadis yang menjadi panduan untuk kita semua. Ini kisah Saidina Zaid bin Sahl al-Ansari atau lebih dikenali sebagai Abu Talhah al-Ansari.

Abu Talhah r.anh ialah seorang sahabat Rasulullah daripada golongan Ansar yang kuat beribadah dan sering berkorban demi agama. Beliau adalah antara yang menyertai Perjanjian Aqabah kali ke-2. Beliau juga antara sahabat yang kaya dan memiliki kebun yang subur.

Dikisahkan pada suatu hari, Abu Talhah r.anh sedang menunaikan solat di kebunnya lalu ada seekor burung terbang masuk. Lantaran pohon-pohon yang lebat, burung itu sukar mencari jalan keluar. Ia terbang ke sana ke mari mengelilingi kebun itu.

Pandangan Abu Talhah r.anh yang sedang solat terganggu dek burung itu. Matanya mengikut gerakan burung itu dan tanpa disedari, fokusnya pada solat mulai hilang. Beberapa saat kemudian, beliau tersedar. Namun, beliau sudah terlupa bilangan rakaat yang telah dikerjakan.

Disebabkan itu, hati beliau menjadi resah gelisah. Akhirnya, Abu Talhah r.anh pergi berjumpa Rasulullah dan berkata, “Ya Rasulullah, saya serahkan kebun ini untuk jalan Allah. Belanjakanlah kebun itu mengikut jalan yang tuan suka.”

Membaca kisah ini, terbit rasa kagum dengan tahap keimanan yang dimiliki oleh Abu Talhah dan sedikit rasa cemburu dengan para sahabat. Ada dua sebab cemburu; satu kerana keimanan mereka dan dua kerana rasa beruntungnya para sahabat boleh terus bertemu Rasulullah untuk mengadu dan dapatkan nasihat.

Refleksi terhadap rasa cemburu pertama boleh diterjemahkan dengan penambahbaikan kualiti ibadah kita khususnya solat. Kita ambil semangat dan inspirasi kisah para sahabat dan jalani kehidupan hari ini dengan mencontohi mereka.

Rasa cemburu kedua pula terubat apabila teringat satu hadis yang menyatakan Baginda rindu kepada ikhwan. Siapa ikhwan? Para pengikut Rasulullah yang mencintai dan taat kepada ajarannya walaupun tidak pernah bertemu. Moga kita termasuk dalam golongan ikhwan ini.

----

Kisah Abu Talhah r.anh dan beberapa sahabat lain ini dimuatkan dalam buku Ternyata Kita Mampu Mencontohi Sahabat Nabi, karya Dr. Nurul Asmida Saad terbitan Karya Bestari.

Sorry, this item is out of stock.
This item has been saved to your wishlist.



View My Wishlist Continue Shopping