Description
Menyelesaikan masalah percintaan sahabat-sahabatnya adalah satu kepakaran.
Aku tersenyum bangga melihat mereka. Hasil kehebatnku menghasilkan perasaan cinta dan mewujudkan perhubungan. Hasil seorang novelis terulung.
Apa salah aku pada kedua makhluk ini sampai mereka sanggup memperlakukan aku begini? Adakah kerana aku berlagak dengan mereka bahawa aku dapat menyelesaikan masalah mereka? Memang logik pun kan? Sudah berapa lama Iza terbelenggu dengan masalah cintanya dengan Hisham yang tak berkesudahan. Akhirnya aku yang mempertemukan dia dengan Helmi. Kini mereka memperkenalkan aku dengan lelaki yang serupa ini. Dengan niat apa? Supaya aku tidak mengganggu percintaan mereka dengan membelenggukan diri aku dengan masalah lain pula?
Aku benci dengan keresahan ini dan aku tahu mengapa. Membenci Roul menjadi sesuatu yang amat sukar. Membenci warna rambutnya sudah kurasa kurang relevan kerana ia tidak lagi mengganggu tumpuanku, malah kini aku boleh berbicara dengannya tanpa memikirkan betapa hodohnya warna itu. Membenci bicaranya yang penuh dengan carutan juga kurang penting kerana ia sudah sebati dengan telingaku. Rasa benci pada mata kanannya makin berkurangan kerana kini aku hanya perlu merenung pandangan mata kirinya yang hitam dan mendalam itu dan hatiku akan terasa berdebar.