Description
Indera 1.
Pemberontakan laksamana terhadap raja telah mengubah sejarah negeri. Peristiwa hitam itu mengakibatkan ilmu persilatan diharamkan, para pendekar ditangkap dan dihukum. Bertahun-tahun berlalu, negeri itu kekal di bawah peraturan ketat, memastikan tiada lagi sisa peninggalan laksamana yang boleh menggugat kuasa istana.
Di sebuah kampung terpencil, Indera menjalani kehidupan sederhana bersama ibunya, jauh daripada urusan kerajaan. Namun, kedamaian itu musnah apabila kampungnya dicerobohi penyamun yang datang menangkap ibunya untuk diserahkan kepada istana. Akibat daripada kekecohan itu, penduduk kampung mula khuatir dan ingin mengusir Indera keluar dari kampung.
Indera 2.
Indera cuma budak lelaki yang ada semangat tinggi mahu menjadi pendekar. Namun, semuanya mula berubah sekelip mata apabila ibunya, Chempaka ditangkap dan diserahkan kepada pihak istana gara-gara sejarah hitam keturunan mereka.
Kini, Indera pula yang tiba-tiba menjadi buruan kerana dialah satu-satunya pewaris lelaki yang menyimpan kunci kepada rahsia besar istana. Mahu tidak mahu, Indera terpaksa melarikan diri bersama adiknya, Inara sebelum Panglima Hitam berjaya menjejaki mereka.
Kalau Indera gagal, bukan sahaja keluarganya akan terpisah buat selama-lamanya, malah sumpahan keturunannya mungkin tidak akan pernah berakhir.
“Kenapa? Kau sedih? Marah? Beginilah kehidupan pendekar. Penuh dengan amarah dan dendam.” - Panglima Hitam.
Siapa sebenarnya Panglima Hitam? Apakah rahsia yang tersimpan dalam darah keturunan Indera? Dan paling penting, sempatkah dia menyelamatkan ibunya sebelum semuanya terlambat?