Description
Setiap manusia pasti melalui saat diuji. Ada masa kita dikhianati, difitnah, kehilangan sesuatu yang berharga atau jatuh dari harapan. Surah Yusuf hadir sebagai panduan untuk memahami hikmah di sebalik semua ujian itu. Ia bukan sekadar kisah seorang nabi, tetapi cerminan perjalanan hidup manusia dalam mencari makna, kekuatan dan reda Allah.
Dalam buku Tadabbur dan Aplikasi Surah Yusuf, Tuan Fazrul Ismail membawa pembaca menelusuri Surah Yusuf dengan pendekatan yang mudah difahami, reflektif dan dekat dengan realiti kehidupan hari ini. Bermula daripada mimpi Nabi Yusuf a.s ketika kecil, fitnah yang menghimpit dirinya, kehidupan di penjara sehinggalah kebangkitan baginda di istana, setiap peristiwa diolah agar pembaca dapat melihat bagaimana iman menjadi cahaya ketika hidup berada dalam kegelapan..
Penulis tidak sekadar menghuraikan maksud ayat, tetapi mengajak pembaca menghidupkan mesej al-Quran dalam diri dan kehidupan. Pembaca dibimbing untuk belajar bersabar dengan tenang, menjaga maruah ketika diuji, mengurus emosi dengan iman serta memaafkan dengan kebijaksanaan dan hati yang lapang.
Buku ini membantu kita memahami bahawa setiap ujian bukanlah pengakhiran sebuah perjalanan. Kadangkala, itulah jalan yang sedang Allah susun untuk membawa seseorang menuju kebaikan yang lebih besar. Seperti kisah Nabi Yusuf a.s, setiap luka, penantian dan kesedihan akhirnya membawa kepada keindahan yang telah dijanjikan oleh Allah SWT.
Halaman : 376 Mukasurat