Jude ialah bintang popular yang menjadi rebutan produser dan penaja. Namun, di sebalik glamor dunia hiburan, hidupnya mula kacau-bilau akibat tiga gosip, satu kemalangan jalan raya dan bungkusan misteri berisi rambut serta darah.
Zara pula mengurus Laman Alam, sebuah rumah persaraan yang menjadi tempatnya mencari ketenangan. Namun, apabila salah seorang stafnya berhenti secara mengejut dan melarikan diri pada tengah malam, Zara memerlukan pekerja sementara. Pada masa yang sama, Jude memerlukan tempat berlindung daripada perhatian umum. Maka, bermulalah perjanjian yang menguntungkan kedua-duanya.
Jauh daripada dunia glamor, kehidupan di Laman Alam membuatkan Jude mempersoalkan pilihan hidupnya, sementara Zara mula keliru dengan perasaan sendiri. Dia mahukan kehidupan yang aman, tetapi bagaimana mahu mencari ketenangan apabila lelaki yang hadir dalam hidupnya itu sendiri adalah kekacauan yang tidak pernah dimintanya?