Description
Benarkah lelaki Kelantan pemalas? Apakah bezanya antara Bahasa Melayu dengan Bahasa Malaysia? Kenapa tidak dipakai sahaja Bahasa Kebangsaan? Kata mereka kerajaan asyik sahaja mengubah itu dan ini.
GEGER Sokmo tidak syak lagi merupakan himpunan pemikiran seorang budayawan dan pemikir kebangsaan yang menurunkan puluhan tahun pengalaman pentadbiran dalam kerajaan dan keterlibatan diri peribadinya dalam gerakan rakyat. Segala macam kupasan persoalan tidak hanya berkaitan pembangunan kebudayaan, kebahasaan dan kesusasteraan tanah air, malahan sentuhan pena penulis tentang isu semasa, senario politik, ekonomi dan sosial sangat kena dengan tonggak-tonggak kenegaraan sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Tun (Dr) Ahmad Sarji bin Abdul Hamid,
Pengerusi, Permodalan Nasional Berhad.
MENGIKUTI pemikiran penulis dalam Geger Sokmo bermakna kita membuka diri dan akal budi untuk mengenali seorang pemikir, memahami pandangan, menghayati pengalamannya dan sekali gus menimbulkan keinsafan serta kesedaran terhadap kewujudan sebuah negara bangsa Malaysia. Imbauan terhadap isu dan masalah, tanggapan tentang wawasan dan gagasan atau mana-mana dasar dan program negara membawa kepada suatu analisis yang tersendiri. Olahan penulis membawa kita ke dalam suatu wacana peradaban bangsa sendiri dan nilai-nilai kemanusiaan sejagat.
Tan Sri Nor Mohamed Yakcop,
Menteri di Jabatan Perdana Menteri.
CETUSAN idea dalam Geger Sokmo mendorong pembaca untuk merenung pelbagai isu semasa tentang kehidupan bernegara dan berbangsa di Malaysia tercinta ini. Kupasannya menghimbau pemikiran sesiapa jua mengenai persoalan peradaban yang meliputi aspek-aspek kemasyarakatan dan kebudayaan, disamping senario politik dan ekonomi bangsa Malaysia.
Prof Dr Awang Sariyan, Kursi Pengajian Melayu,
Universiti Pengajian Asing Beijing (BFSU), China.