Description
Dania, gadis kota yang liar, mengandung anak tidak sah taraf. Akibatnya, papanya, Datuk Safuan mendesak agar kandungan itu digugurkan. Namun, kerana tidak mahu menanggung dosa, mamanya, Datin Kay terpaksa melarikannya ke Pusat Perlindungan Wadi Saffiyyah, tempat perlindungan gadis-gadis bermasalah sosial.
Sepanjang tinggal di Wadi Saffiyyah, Dania sentiasa bermunajat kepada ALLAH. Walaupun, dosa yang ditanggung selama ini tidak mampu mengembalikan lelaki yang bertanggungjawab ke atas kandungannya itu, dia pasrah. Baginya dia harus meneruskan kehidupan sehingga anaknya lahir. Dalam diam, dia terpaut pada sifat-sifat mulia Ustaz Iqbal salah seorang tenaga pengajar di Wadi Saffiyyah. Namun, bila difikirkan, mana mungkin dirinya yang tidak suci, jatuh hati pada insan semulia Iqbal? Sehinggalah suatu hari, dia menerima hadiah pemain MP3 dan al-Quran kecil daripada lelaki itu.
Apakah maknanya ini? Adakah Iqbal juga mempunyai perasaan yang sama terhadapnya? Iqbal pernah menyatakan kepadanya bahawa dia harus mencintai ALLAH dan Rasul-NYA terlebih dahulu sebelum dia mencintai sesama manusia. Dania bimbang dengan kenyataan ini. Takut dia bertepuk sebelah tangan.